Makluman.... Untuk paparan yang baik sila gunakan browser Mozilla Firefox dan resolusi 1024 x768!.... WTV8 dan WEBRTV TV Alternatif Online Kita!....

Jeritan yang kuat itu mengejutkan Lebai Karim dari lenanya. Dia mencapai cermin mata yang terletak di atas meja di sebelah katilnya lalu menoleh ke jam dinding yang terpaku di hadapannya. Pelik! Dilihatnya kesemua jarum jam berpusing ligat. "Ah! Rosak lagi jam ini agaknya" Lebai Karim membuat andaian sendiri.

Bunyi hingar-bingar di luar rumahnya memaksa Lebai Karim mejengah ke luar. Di selaknya jendela kamar tidurnya perlahan-lahan. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati suasana di luar begitu amat menyeramkan. Awan hitam memenuhi seluruh langit dan petir sambar menyambar di sana sini. Sebentar kemudian dia melihat seperti angin yang kuat melanda bermula dari arah barat.

Berberapa orang mula tercampak dipukul angin kuat itu. Lebai Karim segera memaut kepada sebatang tiang apabila yakin angin kencang tersebut semakin menghampiri rumahnya. Dia memjamkan matanya rapat-rapat. Seketika kemudian dia merasakan gegaran yang belum pernah dia rasakan sebelum ini.

Apabila keadaan kembali tenang, perlahan-lahan Lebai Karim membuka kelopak matanya. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapat bahagian rumahnya yang tertinggal hanya tiang tempat dia berpaut. Bahagian yang lainnya semuanya telah pergi dibawa angin kencang tadi. Kini dia bagaikan berada di tanah lapang. Padang jarak padang terkukur.

Lebai Karim melihat beberapa orang mulai bangun dan berdiri. Mungkin mereka ini tercampak dipukul angin kencang tadi, Lebai Karim mengagak lagi. Beberapa orang mula merapatinya. Keadaan mereka benar-benar tidak terurus. Dengan pakaian yang compang-camping dan bau yang tengik, hampir-hampir Lebai Karim terbelahak dibuatnya.

"Lebai. Apa dah jadi ni? Kiamat ke ni? Mana Dajjal? Mana Imam Mahadi? Mana Isa? Kiamat ke ni Lebai? Cakaplah!"

Seorang lelaki menggoncang-goncang tubuh Lebai Karim. Lebai Karim hanya membisu. Mulutnya ternganga dan matanya agak terbeliak. Kepalanya menggeleng-geleng.

"Aku... Aku tidak tahu..."

"Mana boleh tak tahu! Kau orang alim, Lebai! Kau tahu banyak pasal agama! Cakaplah Lebai. Kiamat ke ni?"

Lelaki tadi mula bertindak kasar. Lebai Karim cepat meloloskan diri dari orang ramai yang mula berkeruman di sekelilingnya.

"Aku tidak tahu! Aku tidak tahu..."

Lebai Karim mula meninggikan suaranya. Tiba-tiba kata-katanya terhenti. Tekaknya terasan mual. Bau busuk mula menerokai rongga hidungnya. Lebai Karim tidak tahan lagi. Buekkk! Cecair berlendir keluar dari mulutnya.

"Tengok!"

Jerit seorang lelaki sambil menunjuk kepada seorang wanita.

"Hah! Argh...! Tidak...!"

Jerit wanita tadi sambil terus berlari sebaik mendapati nanah busuk mengalir keluar dari kemaluan. Sebentar kemudian jeritan yang seakan sama mula kedengaran dari orang-orang yang lainnya. Lelaki dan perempuan. Sama sahaja. Mereka mula bertempiaran ke hulu dan ke hilir sebaik melihat titisan nanah dan darah busuk mengalir keluar dari kemaluan mereka.

Dalam sekejap masa tanah lapang tadi dibanjiri dengan cairan nanah dan darah busuk. Lebai Karim mula mencari tempat yang lebih tinggi. Entah bagaimana, dalam dia bersusah payah mendaki anak-anak bukit, Lebai Karim terlihat seorang lelaki berpakaian putih yang tenang wajahnya. Bukan sahaja tidak terlihat riak bahkan lelaki itu tersenyum seperti kepuasan.

Lebai Karim segera menghampiri lelaki itu. Ketika dia benar-benar hampir kepadanya, lelaki tersebut mengalihkan pandangannya kepada Lebai Karim. Pandangan matanya bulat. Bibirnya yang tersenyum sebentar tadi beransur bertukar jadi mencebik.

"Kau siapa? Kenapa kau tersenyum melihat orang-orang ini ditimpa bencana? Ini semua angkara engkaukah?"

Lebai Karim memberanikan diri bertanya soalan bertubi-tubi.

"Hai orang tua! Aku tidak ada kuasa untuk membuat ini semua. Kau lupakah, siapa yang paling berkuasa untuk mengadakan yang tiada?"

Jawab lelaki tadi. Kiamat? Detik hati Lebai Karim. Dia mula keliru. Rasanya dunia masih terlalu awal untuk kiamat. Gambaran tentang tanda-tanda kiamat yang diperlajarinya sedari kecil banyak lagi yang belum berlaku.

"Mengapa orang tua? Kau tidak percayakah? Kau lupa, Tuhanmu memiliki segenap kudrah untuk menjadikan apa saja yang Dia ingin jadikan?"

Tambah lelaki itu seakan mengerti apa yang berada di benak Lebai Karim.

"Mereka ini... Mengapa mereka jadi begini?"

"Mereka inilah yang menggunakan kemaluan mereka pada jalan yang bukan haq. Mereka ini penzina. Lihatlah betapa kejinya penzina yang tidak bertaubat. Busuk! Jijik! Mengapa mereka tidak berbangga dengan keadaan ini seperti mana mereka berbangga ketika melakukan zina dahulu?"

Lelaki itu seakan mengejek ketika menerangkan kepada Lebai Karim akan situasi yang berada di hadapan mata mereka. Lebai Karim terangguk-angguk tanda setuju. Namun tangan dan kakinya tetap menggigil ketakutan.

Sebentar kemudian Lebai Karim melihat beberapa orang manusia yang berjalan terhoyong hayang dengan perut yang membusung. Perut mereka terus juga membesar sehingga akhirnya meletup dan mengeluarkan bau yang cukup meloyakan bersama binatang-binatang berbisa seperti kala jengking dan lipan. Lebai Karim menoleh kepada lelaki tadi meminta jawapan dengan apa yang dilihatnya.

"Inilah orang yang memakan riba dan hasil yang haram. Sebilangan mereka memakan harta yang sebenarnya bukan haq mereka. Kala dan lipan itulah yang mereka katakan lazat ketika mereka menikmatinya."

Lebai karim mula menitiskan air matanya. Betapa tidak, semua yang dilihatnya adalah kalangan orang yang dia kenali. Pemimpin-pemimpin tempatan yang selama ini dianggap banyak memberi sumbangan kepada penduduk kampung.

"Lebai... Tolong aku Lebai..."

Lebai Karim menoleh ke belakang, ke tempat di mana suara itu mendatang.

"Ya Allah! Ustaz Jamaluddin! Kenapa ni ustaz?"

Bagai hendak pitam Lebai Karim melihat keadaan Ustaz Jamaluddin itu. Hanya wajahnya sahaja yang dia kenal. Sedang dari leher ke kakinya hanya tinggal tulang tanpa kulit dan otot. Segala isi perut dan usunya terpaksa diseret. Terdapat beberapa batu dan jarum yang kelihatan melekat pada organ dalamannya yang terseret itu.

"Wahai pemuda. Mengapakah Ustaz Jamaluddin diperlakukan begini? Bukankah dia seorang guru mengaji? Bukankah ramai di kalangan anak muda di kampung ini yang khatam Quran diajarnya? Mengapa?"

Lebai Karim sudah tidak dapat menahan lagi titisan air matanya dari membasahi pipinya. Ustaz Jamaluddin bukan orang asing baginya. Dan Lebai Karim juga merasakan Ustaz Jamaluddin terlalu baik orangnya.

"Inilah pembalasan bagi orang yang mengajar al-Quran untuk satu-satu balasan. Dan dengan balasan itu dia makan dan dengan makanan itu menjadi darah dagingnya."

Tegas lelaki itu seraya berjalan meninggalkan Lebai Karim dan Ustaz Jamaluddin. Lebai Karim segera mengejar lelaki tersebut. Dia ingin merayu kepadanya agar kesemua orang ini dilepaskan dari siksaan begini. Lebai Karim sudah tindak sanggup lagi melihat segalanya.

Lelaki tadi hanya tersenyum mendengarkan rayuan dari Lebai Karim. Seketika kemudian wajahnya mula mencuka. Matanya menjadi merah dan dengan nada yang marah dia berkata kepada Lebai Karim.

"Wahai orang tua! Tidak malukah kau merayu untuk mereka? Merayulah untuk dirimu sendiri!"

Diri sendiri? Lebai Karim menjadi keliru. Ada siksaan untuknya? Tetapi dia tidak merasakannya sekarang ini?

Seketika kemudian Lebai Karim merasakan sesuatu yang berat mula menimpanya dari bahagian atas. Ketika menoleh ke atas, alangkah terkejutnya Lebai Karim melihat sebuah batu yang besarnya hampir menyamai sebuah bandar sedang bertenggek di atas kepalanya.

Lebai Karim sudah tidak dapat bertahan lagi. Akhirnya dia tertiarap sambil batu besar itu terus menimpa belakang badannya.

"Wahai pemuda... Katakanlah... Apakah salahku... sehingga aku... dibalas... begini rupa...?"

Tanya Lebai Karim dengan nada yang tersekat-sekat. Tanpa menoleh, lelaki itu menjelaskan kepada Lebai Karim.

"Inilah tanggungjawab yang kau abaikan dahulu. Sebagai orang berilmu, engkau tidak berusaha memperbetulkan apa yang kau lihat sebagai salah. Dosa sebuah bandar ini tertimpa atas dirimu kerana sifatmu yang tidak menyampaikan. Wahai orang tua, di hari ini, tidak akan ada orang yang dizalimi. Kesemua balasan yang mereka perolehi adalah setimpal atas amalan mereka..."

Lebai Karim hanya mampu mengekori langkah lelaki itu yang meninggalkan mereka yang sedang ditimpa balasan. Pandangan Lebai Karim mulai kabur. Nafasnya mulai tersekat-sekat. Lebai Karim pasti, titisan air mata yang dialirkannya kini sudah tidak berguna lagi. Semuanya salah dirinya sendiri. Sayang semuanya sudah terlambat.....

*******

Lebai Karim membuka matanya perlahan-lahan. Dia menarik nafas lega apabila mendapati dia masih berada di dalam biliknya. Kemudian Lebai Karim meninjau keadaan sekitar. Setelah mendapati segalanya seperti biasa, Lebai Karim segera menuju ke bilik air bagi membersihkan diri dan bersiap untuk ke masjid.

Lebai Mat sedang asyik membaca tarhim ketika Lebai Karim tiba di masjid. Timbul rasa kagum di hati Lebai Karim terhadap Lebai Mat. Dia tidak pernah gagal untuk muncul di masjid apabila tiba waktunya. Di petang hari, dalam perjalanan ke masjid, Lebai Mat tidak pernah lupa singgah ke tembok-tembok tempat anak-anak muda melepak untuk mengajak mereka ke masjid. Memang Lebai Mat kurang popular di kalangan orang muda di situ tetapi Lebai Mat hanya menjalankan tanggungjawabnya. Mungkin kerana itu kelibat Lebai Mat tidak kelihatan di dalam mimpinya tadi.

Lebai Karim segera mendirikan solat. Di penghujung solat, dia mengangkat doa yang panjang. Bersyukur kerana diberi peringatan sebegitu dan bertaubat akan kesilapannya. Apa yang pasti, Lebai Karim mahu menjadi seperti Lebai Mat selepas ini. Amr-bil-ma'ruf, nahi-'anil-munkar...

Nota: Nama watak, kejadian dan cerita ini adalah rekaan semata². Tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Semua bentuk 'gambaran pembalasan' adalah berdasarkan khayalan penulis. Tidak disandarkan kepada mana² hadits. Harap maklum.
 
posted by dppk sekijang at 9:12 PM |


0 Comments: