Makluman.... Untuk paparan yang baik sila gunakan browser Mozilla Firefox dan resolusi 1024 x768!.... WTV8 dan WEBRTV TV Alternatif Online Kita!....
















Bumi itu telah lama gempa
sejak Sultan Abdul Hamid II bertitah murka
menghalau Yahudi penceroboh halaman umat mulia
cuba membeli maruah dengan keping-keping Lira
licik Theoder Hertzl bapa Zionis seduniaBumi itu memang telah lama gempa

sejak Islam dicabut dari ketuanan negara
oleh Ataturk yang mabuk sekular dan kuasa
menghalau Khilafah ke muzium masa
membawa umat maju di bibir neraka

Bumi Turki memang telah gempa
ketika Aya Sofya diperkosa syaitan manusia
semasa masjid-masjid ditabalkan sebagai kandang kuda
tatkala tudung dan tarbus dicampak ke longkang penuh hina
bumi itu memang telah gempa

Gempa itu gempa yang telah lama
sejak Adnan Menderes digantung kerana Islamnya
sejak Necib Fazil dipenjara kerana syairnya
bahkan sejak Turgut Ozal mati dalam misterinya
mengakhiri revolusi tentera yang entah ke berapa

Gempa itu memang sejak sekian lama
semenjak cucu cicit Khalifah merempat terbuang di Perancis sana
semenjak Badiuzzaman Said An-Nursi mati entah di mana kuburnya
apatah semasa Erbakan keluar masuk penjara
bersama Erdogan yang dikurung selepas khidmat baktinya

Gempa Turki itu gempa yang maha
menggegar keranda khilafah dan syuhada' perut buminya
gempa iman dan Islam umatnya yang mahu merdeka
melepaskan diri dari penjajahan bangsa sebahasa sekulit serupa
penyembah tokong sekularisma dan materialisma

Pagi 17 Ogos lalu menggempur lena manusia jam 3:02 yang seksa
runtuh-runtahlah bongkak sekular dan insan ketagih kuasa
gempa bumi selepas gempa anak buminya
merudum menelan insan-insan berdosa dan tidak berdosa
yang tinggal hanyalah masjid yang terpinga-pinga
kaku berdiri di celah runtuhan berpuaka
merenung kuasa Tuhan yang sudah sampai masanya
terbongkoklah anak-anak Izmit, Istanbul di halaman binasa
mencari sisa kalau ada secebis nyawa

Subhanallah...
di bucu sejadah kumengesat air mata
mengenang halaman kedua dimamah gempa
insan tersayang entah apa khabarnya
Fatih di kampung apa ceritanya
Pakcik Mehmet di perut Anatolia apa beritanya...
Tuhan, berilah peluang buat kali kedua

gempa itu, jangan dengannya Kautamatkan semua!!!

 
posted by dppk sekijang at 10:11 PM |


0 Comments: